Press Articles

Title: Murid, guru pantau kualiti air sungai
Date: 02-May-2013
Category: River Care Programme
Source/Author: Portal Pendidikan Utusan
Description: MELALUI Program Pendekatan Awam `River of Life’ (Rolpop), guru dan murid diajar menjadi pembimbing untuk mengembangkan pengetahuan serta kemahiran mereka kepada ahli lain dalam sekolah dan komuniti mereka.

MELALUI Program Pendekatan Awam `River of Life’ (Rolpop), guru dan murid diajar menjadi pembimbing untuk mengembangkan pengetahuan serta kemahiran mereka kepada ahli lain dalam sekolah dan komuniti mereka.

Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai dan Zon Pesisir, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), Datuk Ir Lim Chow Hock berkata, fasa pertama Rolpop bertujuan mengurangkan pencemaran dan memperbaik kualiti air Sungai Klang termasuk menangani sikap dan mengubah minda penduduk yang tinggal dalam kawasan projek berkenaan.

``Masa depan Sungai Klang terletak di tangan generasi akan datang dan sekiranya kita mahu keadaannya lebih baik berbanding hari ini maka kita perlu mengajar anak-anak kita untuk menjaga sungai.

``Jika semua orang menjaga sungai atau longkang yang mengalir berhampiran rumah mereka, dari hulu sehingga ke laut, Sungai Klang akan menjadi satu aset yang indah dan boleh kita banggakan,’’ tegas beliau dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Sebanyak 100 murid dan guru mewakili 12 sekolah rendah dan menengah di Kuala Lumpur terpilih menyertai sesi Latihan Tenaga Pengajar yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Rolpop  anjuran JPS, Global Environment Centre (GEC) dan ERE Consult Sdn. Bhd. di Kuala Lumpur baru-baru ini.

GEC yang merupakan sebuah NGO alam sekitar yang bertumpu kepada pengurusan sumber alam berteraskan komuniti merumuskan dua pendekatan RIVER Ranger dan SMART Ranger dalam program Rolpop.

Setiap pendekatan bertujuan memupuk kesedaran dan melengkapi murid serta guru sekolah dengan kemahiran memantau kualiti air sungai di samping menguruskan sisa pepejal.

Antara sekolah yang terlibat termasuklah Sekolah Kebangsaan (SK) Klang Gate, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wangsa Melawati dan SMK Lembah Keramat.Semasa sesi latihan, peserta diajar kemahiran berkaitan kefahaman sungai, audit sungai (kad laporan sungai, ujian kualiti air dan pemantauan biologi), memetakan pencemaran, konsep pengurusan buangan sifar, pengkomposan, enzim sampah dan membuat sabun daripada minyak masak terpakai.

Sementara itu, Pengarah GEC, Faizal Parish memberitahu, pihaknya turut memperkenal Pertandingan Fotografi atas talian bertemakan `Sungai Klang-My Living River’ yang terbahagi kepada enam kategori bermula 1 Mei hingga 31 Julai ini. 

"Pertandingan ini terbuka kepada warganegara Malaysia dengan kategori khas untuk pelajar dan masyarakat yang tinggal di kawasan Rolpop," katanya. maklumat lanjut boleh layari laman projek rasmi di www.myrol.my/photocontest.

 



PESERTA program Rolpop mendengar taklimat kaedah mengurangkan pencemaran dan memperbaik kualiti air Sungai Klang di Kuala Lumpur baru-baru ini.


MURID menguji kualiti air sungai dengan bimbingan kakitangan GEC yang merupakan sebahagian daripada program Rolpop di Kuala Lumpur baru-baru ini.

[ Back ] [ Print Friendly ]