Press Articles

Title: Pelajar, guru SMKTK ke Norway
Date: 03-Jun-2010
Category: Capacity and Awareness
Source/Author: Berita Harian Utara: Sabaruddin Abd Ghani

KUALA KETIL: Sekolah Menengah Kebangsaan Teloi Kanan (SMKTK) di sini sekali lagi mencatat sejarah, sekali gus mengharumkan nama negara apabila empat pelajar dan dua gurunya dipilih mengikuti persidangan alam sekitar peringkat global di Stavanger, Norway selama enam hari.

Program pendidikan bertemakan Agenda Alam Sekitar Remaja anjuran `The Young Agenda Foundation International House' berpejabat di Stavanger itu cuma memberi tumpuan terhadap pelajar berusia bawah 14 tahun dan ahli kelab alam sekitar di sekolah masing-masing sebagai golongan sasar menyertai program itu.

Pengetua SMKTK, Nooriah Bahari, 52, berkata sepanjang tempoh menyertai persidangan itu, pelajarnya menerusi bimbingan dua guru penasihat iaitu S Kalaimani dan Nordiana Zainordin akan membentangkan kertas kerja berhubung fungsi air dan tanah terhadap manusia.

Beliau berkata, memandangkan program peringkat antarabangsa itu yang serius memperjuangkan isu alam sekitar, pihaknya komited menyahut cabaran penganjur menghantar pelajar menyertainya.

"Kami anggap ini sebagai satu penghargaan paling bermakna untuk warga sekolah kerana SMKTK adalah satu-satunya sekolah di Malaysia dipilih menyertai persidangan itu.

"Pihak sekolah yakin pelajar berkenaan mampu menggalas tugas mencabar itu kerana mereka adalah ahli Kelab Pencinta Alam dan `River Ranger' (KPADRR) yang pernah menyertai program seumpama itu di peringkat dalam dan luar negara," katanya.

Pelajar Tingkatan Dua yang menyertai program berkenaan ialah Mohd Hafiz Tanggamani, Mohd Hafizuddin Ahmad Omar, Nur Farhana Azizan dan Nur Farina Wahab. Mereka adalah antara 100 ahli KPADRR yang aktif membabitkan diri dalam aktiviti berhubung alam sekitar.

Sekolah berkenaan yang pernah meraih kejayaan dalam aktiviti peringkat antarabangsa, termasuk memenangi tiga pingat emas di Festival Sains, Teknologi dan Alam Sekitar di Universiti Joensuu, Finland anjuran `Environment Online' (ENO) tahun lalu dan beberapa anugerah dimenangi tahun ini antaranya Anugerah Peguin anjuran `World Environment Federation' dan Anugerah Istimewa Kempen Penanaman 100 juta pokok anjuran ENO menarik perhatian penganjur memilih sekolah itu menyertai program kali ini.

Selain syarikat Shell sebagai penaja utama, pihak lain termasuk Puncak Niaga, Global Environment Centre (GEC) dan Malaysia Nature Society (MNS). Sebanyak RM100,000 berjaya dikumpul bagi membiayai kos menghadiri persidangan itu.

Sementara itu, bapa Nur Farhana, Azizan Ahmad, 53, berkata, persidangan yang membincangkan isu alam sekitar membabitkan penyertaan pelajar itu dianggap satu pendekatan baru terhadap generasi muda supaya mereka mempunyai kesedaran betapa penting menjaga alam sekitar.

"Mendidik orang ramai supaya bersikap lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar perlu bermula di peringkat awal.

"Sebab itu, saya memberi galakan kepada anak menyertai KPADRR agar dengan ilmu serta pengetahuan mengenai penjagaan alam sekitar dipelajarinya dapat membentuk sikap menghargai alam sekitar," katanya yang juga Penolong Pengurus Felda Teloi Kanan.

 

[ Back ] [ Print Friendly ]