Press Articles

Title: Komuniti jaga kebersihan Kelana Jaya
Date: 11-Feb-2009
Category: River Care Programme
Source/Author: Utusan Malaysia
Description: KELANA JAYA 10 Feb. - Bagi mewujudkan kawasan perumahan yang lebih selesa dan bersih, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah mengadakan majlis gotong-royong di sekitar kawasan SS7/17, SS7/26 dan SS7/28 baru-baru ini.

KELANA JAYA 10 Feb. - Bagi mewujudkan kawasan perumahan yang lebih selesa dan bersih, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah mengadakan majlis gotong-royong di sekitar kawasan SS7/17, SS7/26 dan SS7/28 baru-baru ini.

Aktiviti gotong-royong yang berlangsung selama tiga jam itu, turut mendapat penglibatan dan sokongan daripada Komuniti Friends of Kelana Jaya Park dan Global Environment Centre (GEC).

Menurut Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo-Burne Loh, menjaga kebersihan persekitaran adalah sama penting dengan menjaga kebersihan diri dan rumah.

"Segala-galanya bermula dari rumah. Jika kita mahu melihat persekitaran kita bersih, kita perlu mulakan dulu kebersihan dari dalam diri kita dan rumah kita," ujarnya.

Menurutnya lagi, keberkesanan sesuatu objektif itu adalah bergantung kepada kerjasama dari semua pihak.

"Untuk menjalankan aktiviti sebegini dan mengembalikan semula kebersihan dan keceriaan alam sekitar, kita memerlukan kerjasama semua pihak.

"Apabila semua orang berkerjasama, pasti kita dapat lakukan sesuatu. Dari situlah kita dapat tahu apa punca masalah dan kita boleh cari cara untuk menyelesaikannya," katanya.

Aktiviti gotong-royong tersebut tertumpu kepada pembersihan parit dan longkang sempena menyambut program My Drains Day di bawah projek pemuliharaan Tasik Kelana Jaya.

Pegawai Program Penjagaan Sungai GEC, Shafinaz Shahabudin berkata, tujuan utama mereka mengadakan aktiviti ini adalah untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai tentang betapa pentingnya menjaga alam sekitar.

"Kami mahu mengajak orang ramai sama-sama menjaga alam sekitar terutama tasik di sini di mana kita dapat lihat banyak pencemaran yang berlaku.

"Kualiti air di tasik ini adalah di dalam lingkungan gred empat dan lima. Ia sudah berada pada tahap tercemar," katanya.

Dalam pada itu, lukisan ikan turut dilukis di tembok-tembok sebagai simbolik untuk tidak membuang sampah ke dalam parit.

"Lukisan ikan ini adalah untuk mengingatkan orang awam supaya tidak membuang sampah ke dalam longkang. Lukisan ikan tersebut adalah simbolik bahawa ada hidupan lain di dalam parit tersebut,

"Ini adalah salah satu cara untuk mendidik orang ramai untuk sama-sama memelihara alam sekitar," tambahnya.

[ Back ] [ Print Friendly ]