Press Articles

Title: Kenyataan Media: Selamatkan Hutan Simpan Kuala Langat Utara daripada Penyahwartaan
Date: 22-Apr-2020
Category: Forest
Source/Author: The Coalition for the Protection of Selangor’s Forests
Description: Hentikan penyahwartaan dan pembangunan. Ia bukan jalan penyelesaian untuk isu hutan mudah terbakar, kata pakar

KENYATAAN MEDIA

SELAMATKAN HUTAN SIMPAN KUALA LANGAT UTARA DARIPADA PENYAHWARTAAN

Hentikan penyahwartaan dan pembangunan. Ia bukan jalan penyelesaian untuk isu hutan mudah terbakar, kata pakar


Untuk Hebahan Segera

SELANGOR, 17 APRIL 2020: Disaat negara sedang dilanda krisis COVID-19, nasib Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) masih tidak diketahui. Gabungan Melindungi Hutan Negeri Selangor, melalui satu kenyataan media pada 26 Mac 2020 telah meminta pihak kerajaan untuk menangguhkan proses penyahwartaan HSKLU kerana penularan COVID-19. Perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah meyebabkan sebarang penilaian impak atau dialog mengenai cadangan penyahwartaan tidak mungkin akan berlaku. Gabungan juga tidak bersetuju dengan justifikasi Kerajaan Selangor bahawa hutan simpan tersebut dibangunkan kerana keadaannya yang “mudah terbakar”.

Leela Panikkar, Pengarah Treat Every Environment Special (TrEES) selaku Penyelaras Gabungan berkata, “Perlanjutan PKP sehingga 28 April telah menyebabkan sebarang penilaian terperinci impak alam sekitar dan sosial tidak mungkin berlaku kerana penilaian tersebut melibatkan lawatan tapak dan konsultasi bersama semua pihak berkepentingan yang terlibat. Komuniti setempat juga masih tidak tahu mengenai projek pembangunan ini. Kerajaan Selangor juga sehingga kini masih belum memberi sebarang penjelasan bagaimana cadangan pembangunan tersebut dapat memberi manfaat kepada masyarkat Orang Asli yang tinggal berdekatan dengan HSKLU dan kepada pihak berkepentingan yang lain. Hal ini perlu dijelaskan secara rasmi kepada semua pihak berkepentingan.”

Faizal Parish, Pengarah Global Environment Centre (GEC) selaku ahli Gabungan berkata, “Projek pembangunan bercampur bukan solusi untuk menyelesaikan isu-isu hutan mudah terbakar di Selangor. Hutan paya gambut biasanya berkeadaan basah dengan kadar aras air yang tinggi. Kebakaran hanya akan berlaku apabila ekosistem hutan tersebut diganggu oleh aktiviti manusia. Di HSKLU, Sahabat Hutan Gambut Kuala Langat Utara, yang terdiri daripada komuniti Orang Asli yang tinggal berdekatan HSKLU, telah giat berkerjasama dengan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dan organisasi lain dalam menjalankan aktiviti pemuliharaan dan pemeliharaan sejak tahun 2015. Mereka telah menanam lebih daripada 10,000 pokok, menyekat terusan saliran dan menyokong pertumbuhan semulajadi hutan serta melakukan kerja-kerja pemantauan dan rondaan kebakaran. Hasilnya, lebih daripada 300 hektar bahagian terosot hutan simpan tersebut, yang terjejas akibat kebakaran, kini sedang pulih. Terdapat hanya satu insiden kebakaran hutan dalam masa lima tahun. Ini adalah cara terbaik untuk menyelesaikan isu hutan terbakar dan bukannya melalui pembangunan. Pembangunan hanya akan menjadikan masalah tersebut semakin besar dan mengakibatkan kehilangan habitat dan hidupan liar.” 

Prof. Dr. Ahmad Ismail, Presiden Malaysian Nature Society turut berkata, “HSKLU adalah sebuah hutan unik gabungan antara hutan tanah rendah dan hutan paya gambut dan ia mempunyai nilai yang sangat besar jika digunakan sebaik mungkin secara lestari. HSKLU merupakan rumah kepada spesis-spesis flora dan fauna yang jarang, endemik dan terancam. Ia juga sangat kritikal terhadap tradisi dan budaya Orang Asli Temuan yang telah tinggal di kawasan tersebut sejak beratus tahun yang lalu dengan dokumentasi berbentuk fotografi terawal direkodkan pada tahun 1886. 

Selain menjadi rumah kepada pelbagai jenis spesis, HSKLU juga memainkan peranan penting dalam mengurangkan perubahan iklim. Ia mempunyai kapasiti untuk menyimpan karbon sehingga 1,600 tan karbon per hektar. Jumlah stok karbon HSKLU adalah dianggarkan sebanyak 1,500,000 tan karbon. Dianggarkan sebanyak 5.5 juta tan pengeluaran karbon dioksida dapat dielakkan jika HSKLU tidak dibangunkan dan sebaliknya dikekalkan sebagai Hutan Simpan Kekal. Nilai-nilai ini tidak boleh digantikan dengan wang. Seluruh ekosistem, habitat dan spesis yang telah wujud sejak beribu tahun dan ada yang berjuta tahun lalu serta warisan turun-temurun turut akan hilang jika projek pembangunan tersebut diteruskan.”

Semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor pada 17 Mac, Menteri Besar Selangor menyatakan bahawa Kerajaan Selangor berharap untuk mendapatkan premium tanah sebanyak RM 323 juta ( atau RM3.2/kaki persegi) jika projek pembangunan HSKLU diteruskan. 

“Gabungan keliru apakah yang menyebabkan pihak kerajaan mempunyai rancangan untuk memusnahkan harta warisan ini hanya untuk sejumlah wang yang kecil,” kata Meena Raman daripada Sahabat Alam Malaysia. “Jika kerajaan negeri prihatin terhadap sumber kewangan, terdapat dana antarabangsa yang tersedia untuk memastikan hutan gambut tetap terjaga seperti Green Climate Fund dan Global Environment Facility. Dana antarabangsa seperti ini terbuka untuk semua negara membangun yang sedang melindungi hutan-hutan untuk tujuan pemeliharaan biodiversiti dan mengekang perubahan iklim. Kerajaan negeri sepatutnya menerokai pendekatan seperti ini, yang akan memberi manfaat kepada masyarakat dan generasi akan datang. 

“Kita perlu membandingkan janaan pendapatan kecil secara sekali kepada negeri daripada tanah premium, dengan biodiversiti dan warisan budaya yang tidak ternilai harganya serta mempunyai potensi untuk menjana pendapatan jika kawasan hutan simpan tersebut dipelihara dan diuruskan untuk eko-pelancongan berskala kecil atau kegunaan lestari yang lain. Kita juga perlu menitik berat nilai servis alam sekitar yang akan hilang kerana cadangan pembangunan tersebut dan kos pengurusan bencana akibat pembangunan tersebut. Nilai ekosistem penting ini secara keseluruhannya lebih tinggi berbanding jumlah premium tanah yang diminta oleh kerajaan negeri dan ianya tiada ganti,” tambah beliau.

“Manusia dan ekosistem hutan sentiasa berinteraksi” kata Nagarajan Rengasamy daripada GEC. “Walaupun hutan-hutan dan ekosistem semulajadi telah berkembang dan menyokong manusia sejak beribu tahun yang lalu, pembangunan jangka pendek akan menyebabkan ketidakseimbangan biosfera yang besar. Pembangunan bercampur yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor tidak selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari, ataupun pelan wartaan guna tanah dan pembangunan negeri dan daerah yang telah diluluskan oleh mereka sendiri. Sehingga hari ini, semua penduduk di kawasan sekitar telah menerima dan menggunakan servis ekosistem HSKLU dalam kegunaan harian mereka. Kami berharap bahawa pihak kerajaan negeri akan mempertimbangkan semula rancangan untuk kawasan ini dan fokus kepada pilihan yang lestari.”

TAMAT
_______________

Nota 

Kerajaan Negeri Selangor melalui Jabatan Perhutanan Negeri Selangor telah meletakkan notis cadangan penyahwartaan pada 5 Februari 2020 dan menjemput semua pihak berkepentingan di Daerah Kuala Langat untuk menghantar bantahan, yang mana hal ini telah mendorong pelbagai NGO alam sekitar dan sosial serta orang awam bertindak menyertai kempen “Selamatkan HSKLU”. Ditubuhkan sebagai respon kepada notis tersebut, Gabungan Melindungi Hutan Negeri Selangor, merangkumi tujuh NGO alam sekitar dan sosial, telah mengumpulkan 43,502 bantahan daripada orang awam dan penduduk daerah Kuala Langat dalam masa 20 hari dan telah menyerahkan bantahan-bantahan tersebut kepada Kerajaan Negeri pada 5 Mac 2020.  

HSKLU adalah Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Tahap 1 di bawah  Rancangan Fizikal Negara 3 (RFN-3) dan KSAS Risiko Bencana dalam Dasar Matlamat Pembangunan 16 (MP16) dalam Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035. Ia juga ditetapkan sebagai kawasan pemuliharaan di bawah Rancangan Tempatan Kuala Langat yang dwartakan baru-baru ini.  Di bawah pelan-pelan rancangan ini TIADA pembangunan dibenarkan dalam KSAS Tahap 1 untuk mengelakkan impak serius kepada alam sekitar, ekonomi dan sosial.

Cadangan mengeluarkan tanah dari HSKLU adalah tidak selari dengan Pelan Tindakan Tanah Gambut Kebangsaan (2011 – 2020), Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2016-2025), dan Akta Pemuliharaan Tanah 1960 (Akta 385) yang berkaitan dengan pemuliharaan dan perlindungan sumber alam semulajadi, termasuk lain-lain obligasi di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.


Mengenai  Gabungan Melindungi Hutan Negeri Selangor

Gabungan Melindungi Hutan Negeri Selangor terdiri daripada tujuh pertubuhan alam sekitar yang telah ditubuhkan berikutan kebimbangan kami apabila Negeri Selangor bakal kehilangan hutan simpan paya gambut yang amat penting, kaya dengan biodiversiti dan khazanah bagi masyarakat Orang Asli. Gabungan ini menggesa untuk perlindungan dan pemuliharaan hutan di Negeri Selangor serta bekerja rapat dengan pakatan, sekutu dan rangkaian lain untuk menekankan kepentingan ekosistem dan biodiversiti hutan dalam mengawal iklim dunia dan kemapanan semula jadi. Gabungan ini juga menggalakkan penghormatan terhadap hak dan identiti komuniti orang asli yang wujud bersama hutan Malaysia sejak beribu tahun dahulu. Untuk maklumat lanjut mengenai Gabungan, kunjungi:

https://www.facebook.com/Coalition-for-the-Protection-of-Selangors-Forests-102562088005138/

Ahli-ahli Gabungan ialah: 

  • Center for Orang Asli Concerns Malaysia (COAC)
  • Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS Malaysia)
  • Global Environment Centre (GEC)
  • Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA)
  • Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS)
  • Sahabat Alam Malaysia (SAM)
  • Treat Every Environment Special (TrEES)
[ Back ] [ Print Friendly ]